SEMPORNA: Seramai 19 mangsa (14 lelaki/5 perempuan) terlibat dalam kemalangan membabitkan lori 3 tan yang bertembung dengan bas persiaran pelancong di Jalan Utama Semporna ke Tawau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 12.01 tengah hari, hari ini.
“Terdapat 2 orang mangsa lelaki dalam lori, seorang mangsa iaitu pemandu tersepit di bahagian kaki berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan mengalami kecederaan.
“Mangsa seterusnya di bawa ke hospital menggunakan Ambulans manakala seorang lagi mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, mangsa dalam bas persiaran adalah seramai 17 orang termasuk pemandu (12 lelaki/5 perempuan), dikenalpasti warganegara China.
“Pemandu bas pelancong mengalami trauma dan dihantar ke hospital oleh orang awam, manakala mangsa yang lain tidak mengalami kecederaan,” tambahnya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.02 petang setelah pasukan Bomba memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.