Site icon TUHAU BAMBANGAN

TERUS PANTAU PELAKSANAAN PELAN KK 2035 DAN PELAN STRATEGIK DBKK 2023-2026 – HAJIJI

KOTA KINABALU: Pemantauan berterusan perlu diberi tumpuan utama ke atas Pelan
KK 2035 dan pelan Strategik DBKK 2023-2026 bagi memastikan pelaksanaannya
mengikut seperti apa yang terkandung dalam kedua-dua pelan berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, menerusi pemantauan
itu ia dapat membantu agensi sektor awam untuk membuat penilaian, mengenalpasti
kekurangan serta kelemahan yang wujud, dan seterusnya melaksanakan
penambahbaikan yang diperlukan.

“Saya berharap kedua-dua pelan yang dilancarkan hari ini akan dapat dilaksanakan
dengan sebaiknya mengikut apa yang terkandung dalam pelan berkenaan.

“Justeru, beberapa perkara perlu diberi penekanan dalam memastikan kejayaan pelan
yang dihasilkan mencapai matlamat strategik dan keberhasilan yang diinginkan, iaitu
dengan memberi fokus secara berterusan terhadap pemantauan pelaksanaan,”
katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Pelan KK 2035 dan Pelan Strategik
DBKK 2023-2026 di Hilton hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Abidin Madingkir.

Pelan KK 2035 yang menyatukan pelan-pelan tindakan sedia ada meliputi enam (6)
agenda yang menjadi tunjang utama iaitu ketersediaan prasarana; kelestarian alam
sekitar; kemakmuran sosi-ekonomi; kerangka bandar pintar dan transformasi digital;
keterangkuman seni dan budaya, dan kecemerlangan tadbir urus.

Bagi Pelan Strategik DBKK 2023-2026 pula, pelan ini juga digerakkan dengan dengan
enam (6) teras utama merangkumi Bandaraya Lestari; Masyarakat Sejahtera;
Perundangan dan Keteraturan; Pembangunan Sosio-Ekonomi; Tadbir Urus Berprestasi
Tinggi; dan Jaringan Kerjasama.

Hajiji berkata, Pelan KK 2035 ini akan menjadi rujukan utama kepada semua jabatan
dan agensi yang bertanggungjawab kepada pembangunan Kota Kinabalu dan ia
bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah kerangka Malaysia
Madani, dan selaras dengan Sustainable Development Goals 2030.

“Bagi Pelan Strategik DBKK 2023-2026 pula, menggariskan 28 strategi dengan 56
program yang disenaraikan bagi mendokong teras strategik yang memenuhi keperluan
pemegang taruh, penduduk Bandaraya Kota Kinabalu dan merealisasikan misi dan visi
ke arah Bandaraya Kota Kinabalu yang sejahtera.

“Saya menghargai inisiatif dan usaha DBKK menggubal Pelan KK 2035 dan Pelan
Strategik DBKK 2023-2026. Pelan yang dihasilkan ini adalah bukti kesungguhan DBKK
untuk mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan yang
berorientasikan pelanggan serta memantapkan tata kelola berintegriti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, semua warga kerja baik di sektor awam mahupun swasta
perlulah terlibat sama, komited dan berkorban demi menjayakan visi dan misi yang
dirancang bersama menerusi kedua-dua pelan berkenaan.

Exit mobile version