Site icon TUHAU BAMBANGAN

HAJIJI SARAN SYARIKAT SWASTA & GLC SABAH LAKSANA PROGRAM CSR PENCEGAHAN RASUAH

TUARAN: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah, disaran melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini, boleh mendapat potongan cukai.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan itu, syarikat swasta layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

“Justeru saya menyeru dan menggalakkan syarikat-syarikat swasta dan kerajaan di Sabah agar mengambil peluang dan insentif pelepasan cukai tersebut dengan menganjurkan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat dalam membantu menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah di kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Kedai Jujur Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran pada Isnin.

Sementara itu, menyentuh mengenai program Kedai Jujur, beliau berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif dalam mempersiapkan diri pelajar sekolah terhadap penerapan nilai-nilai murni.

“Tabiat bermoral seperti ini perlu diterapkan bermula dari alam persekolahan lagi supaya ia menjadi pegangan hidup apabila mereka dewasa kelak.

“Konsep kedai jujur ini bolehlah dijadikan benteng utama di peringkat awal bagi menghalang kelakuan pelajar sekolah yang tidak berintegriti kelak.

Tambahnya lagi, konsep kedai jujur ini tidak asing bagi negeri Sabah kerana ia sinonim dengan gerai jualan tanpa penjaga yang boleh dilihat di tepi-tepi jalan raya di beberapa daerah.

Untuk rekod, bagi fasa pertama di Sabah, kedai jujur ini telah dibuka di sembilan sekolah menengah dan rendah serta satu di Wisma Pendidikan.

Exit mobile version