Site icon TUHAU BAMBANGAN

BELANJAWAN2024: KADAR CUKAI PERKHIDMATAN NAIK KEPADA 8% BERBANDING 6%

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8 peratus berbanding sebelum ini, iaitu 6 peratus.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pembetangan Belanjawan 2024 hari ini berkata, untuk tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Katanya, kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logisitik, pembrokeran, penjajajaminan dan karaoke.

Justeru itu, Anwar berkata, ianya dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan mutu perkhidmatan juga bantuan kepada rakyat dan mulai tahun hadapan beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa sama tidak membebankan majoriti rakyat.

“Kedua, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

“Kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan,” katanya.

Seterusnya, Anwar berkata, kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar 5 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

“Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

“Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, Kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta EURO,” jelasnya.

Exit mobile version