Site icon TUHAU BAMBANGAN

KILANG TAPUK BERAS TEMPATAN BERNILAI LEBIH RM400 RIBU, DISITA

ALOR SETAR, KEDAH: Sebuah kilang beras di Kedah, disita selepas disyaki menyorokkan beras putih tempatan (BPT) berjumlah 180 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM405,000 di dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh pasukan petugas khas menerusi Operasi BPT, semalam.

DATUK Chan Foong Hin menunjukkan sampel beras putih yang diperiksa di salah sebuah kilang sempena Op BPT di Alor Setar.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau BPT berjumlah 180 tan metrik ditemukan di dalam kampit jumbo.

“Buat masa ini lokasi dan naam syarikat kilang itu tidak boleh didedahkan, supaya tidak mengganggu kes yang masih dalam siasatan. Ini juga merupakan sitaan pertama di bawah OP BPT.

“Cuma saya dimaklumkan, pihak KawalSelia Padi dan Beras (KPB) melakukan operasi seperti biasa setiap masa. Pada Sabtu lalu KPB juga ada melakukan operasi dan menyita beras di sebuah kilang di sini,” katanya kepada media selepas menyertai operas pemantauan ke atas sebuah kilang beras di negeri itu.

Tambah Chan, kes itu sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996.

Chan turut memberi amaran kepada pihak yang berkenaan agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menegaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta anggota pasukan petugas akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

Sumber: SK

Exit mobile version