Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPRM SABAH TAHAN PENJAWAT AWAM KEMUKA TUNTUTAN PALSU BERNILAI LEBIH RM17,000

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki membuat tuntutan palsu bagi pembekalan peralatan pertukangan bernilai kira-kira RM17,200 sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 10.40 pagi tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Suspek yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan dipercayai membuat tuntutan palsu untuk membekalkan peralatan pertukangan kepada pelajar sebuah pusat latihan di Sabah pada tahun 2017,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek telah dilepaskan dengan jaminan seorang penjamin sebanyak RM5,000 tanpa deposit dan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah esok pagi.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak membuat tuntutan palsu kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh dituduh di mahkamah jika mempunyai bukti yang kukuh.

Exit mobile version