Site icon TUHAU BAMBANGAN

SABAH LANCAR SE-RAMP2040, TANGANI KEPERLUAN INDUSTRI TENAGA

KOTA KINABALU: Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) dilancarkan bagi menangani keperluan jangka masa pendek di samping membina daya tahan jangka panjang yang mampan untuk industri tenaga di negeri ini pada masa hadapan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Pelan Induk itu menggariskan hala tuju dan inisiatif strategik negeri untuk bergerak ke hadapan dan dengan jangkaan kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia pembekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun depan.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan SE-RAMP 2040 dilaksanakan secara sistematik dan berkesan,” katanya ketika melancarkan SE-RAMP2040 di sini, hari ini.

Beliau berkata, dibawah Pelan Induk itu, Majlis Tenaga Sabah akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ketua Menteri untuk memantau, menyokong dan memberi panduan ke atas pelaksanaan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang dirancang.

Katanya, antara objektif SE-RAMP 2040 adalah untuk memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap, dengan akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat sambil memastikan kemampanan untuk masa depan Sabah.

“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 yang dilancarkan pada Ogos tahun ini,” katanya.

Hajiji berkata, SE-RAMP 2040 yang digubal oleh Energy Commision of Sabah (ECoS) merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi trilema tenaga bagi memastikan ia terjamin, mampu milik dan kelestarian alam sekitar.

“Kita tahu dan sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak sekian lama. Kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

“Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju SMJ, keperluan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan.

“Pelan ini sudah tentu akan membuka jalan kepada kami untuk meningkatkan bekalan elektrik untuk keperluan industri dan saya mahu ECoS melaksanakan mandat ini ke tahap terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Hajiji juga menegaskan bahawa SE-RAMP 2040 akan memastikan industri tenaga Sabah dipantau dengan teliti dan terus berkembang untuk manfaat orang ramai.

“Pelan Induk itu adalah kebanggaan kerajaan negeri kerana kita akan dapat melakarkan laluan kita untuk memacu pembangunan sektor gas dan bekalan elektrik kerana kitalah yang lebih memahami keperluan tenaga negeri kita,” katanya.

Exit mobile version