Site icon TUHAU BAMBANGAN

PM UMUM TAMBAHAN RM1 BILION BANGUN INFRASTRUKTUR SABAH, SARAWAK – KALIMANTAN

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi tujuan pembangunan infrastruktur di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.

Katanya, dengan keputusan negara Indonesia baru-baru ini untuk memindahkan ibu negara baharu ke Nusantara di wilayah Kalimantan, Malaysia tidak akan membiarkan kedua-dua negeri ini ketinggalan.

“Saya telah ke Jakarta baru-baru ini dan diberi taklimat mengenai rancangan perpindahan ibu negara Indonesia. Justeru, saya tidak mahu negara kita ketinggalan dan harus memanfaatkan kemudahan tersebut untuk memajukan lagi sempadan di Sabah dan Sarawak.

“Justeru itu, saya telah meluluskan satu lagi peruntukan tambahan daripada dana terdahulu untuk Sabah dan Sarawak, berjumlah lebih RM1 bilion untuk pembangunan di sempadan,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak malam tadi.

Dalam pada itu katanya, beliau sudah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempercepatkan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) awal daripada yang dijadualkan.

“Tiada lagi alasan untuk tidak menyiapkannya secepat mungkin. Sarawak lebih maju dalam projek tersebut, tetapi ada beberapa bahagian pembinaan LPB yang perlu diselesaikan terutama di Sabah,” ujarnya.

Selain itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan kerana menyelesaikan isu sekolah usang di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebelum Oktober tahun ini.

Exit mobile version