Site icon TUHAU BAMBANGAN

KAJI SEMULA MATA PELAJARAN SEJARAH, UBAH SILIBUS KEPADA BENTUK ‘STORY TELLING’

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru untuk mengkaji semula mata pelajaran Sejarah bagi memastikan ia mampu menarik minat pelajar dan tidak membosankan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, beliau sangat prihatin berhubung perkara ini kerana subjek wajib lulus itu telah menjadi penyebab ratusan ribu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal pada tahun 2022.

“Tuaran sangat hairan bagaimanakah perkara ini boleh berlaku. Sehubungan itu saya mengambil inisiatif mengadakan sedikit kajian tentang silibus digunakan pada ketika sistem pendidikan menggunakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan seterusnya Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Dan apa yang saya dapati buku teks Sejarah itu langsung tidak mempunyai ciri-ciri sebagai Sejarah. Ia sepatutnya suatu cerita. Tetapi apa yang Tuaran dapati ia lebih berbentuk Human Geography, iaitu menceritakan pasal etnik, budaya, dan adat istiadat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pemangkin dasar Kajian Separuh Penggal (KSP) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Persidangan Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Ulasan itu menfokuskan kepada dasar pertama KSP RMK12 iaitu Mengukuhkan Bakat Masa Hadapan dan menurut Madius, buku teks Sejarah tidak menceritakan apa yang terjadi pada masa yang lalu.

“Contohnya siapa yang terlibat, apa perbincangannya, bila dan dimana. Semua itu tidak disebut menyebabkan mata pelajaran itu menjadi satu mata pelajaran yang sangat membosankan dan tidak menyeronokkan.

“Oleh itu pelajar tidak suka, guru-guru tidak seronok dan penyelia-penyelia pun tidak seronok.

“Pendek cerita, Tuaran mahu agar mata pelajaran ini dikaji semula. Biarlah subjek Sejarah ini dibuat dalam bentuk penceritaan atau story telling tentang kisah benar untuk memberi kesedaran tentang asal usul kewujudan kita, kewujudan negara ini,” jelasnya.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menegaskan untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia, setiap rakyat perlu mempunyai semangat kekitaan yang tinggi terhadap negara ini.

Exit mobile version