Site icon TUHAU BAMBANGAN

PERKASA BIDANG TVET DALAM KALANGAN PELAJAR TAHFIZ

KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet) dalam kalangan pelajar Tahfiz.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, hal itu kerana menurut data statistik, lebih kurang 80 peratus pelajar Tahfiz tidak berjaya menghafal Al-Quran sepenuhnya.

Justeru itu, katanya, para pelajar ini perlu didedahkan dengan bidang kemahiran agar tidak tercicir dan dapat dijadikan tenaga mahir dalam negara.

“Kita mahu supaya mereka juga didedahkan dengan bidang kemahiran agar mereka tidak tercicir dan dapat dijadika sebagai tenaga mahir di negara ini dan ini sedang berjalan. Saya pernah melawat satu sekolah Tahfiz di Kedah, di mana pelajar Tahfiz ini dilatih membuat pendawaian dan elektrik.

“Jadi kita akan pastikan bahawa semuanya akan didedahkan dengan bidang kemahiran mengikut minat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Perasmian Majlis Wacana Malaysia Madani di Kota Kinabalu hari ini.

Sementara itu, bagi negeri Sabah pula, Mustapha berkata, pihaknya sudah membincangkan agar pelajar Institusi Tahfiz di negeri ini didedahkan dengan bidang Tvet.

“Ada sudah permulaan yang baik tapi kita mahu supaya ianya distrukturkan agar Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Kerajaan Negeri terlibat secara langsung untuk kita memastikan institusi Tahfiz yang ada di negeri ini dapat digalakkan untuk melibatkan pelajar-pelajar mereka menjalani pendidikan Tvet,” katanya.

Exit mobile version