Site icon TUHAU BAMBANGAN

POLIS SABAH BERJAYA RAMPAS DADAH BERNILAI RM3 JUTA DI KKIA

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas merampas 50.25 kilogram (kg) dadah jenis Methaphetamine atau Syabu bernilai lebih kurang RM3 juta menerusi serbuan terhadap sebuah kenderaan jenis Mazda di pintu masuk Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati dadah tersebut dibawa masuk dari negeri jiran, iaitu Sarawak dengan menggunakan jalan darat.

Katanya, dalam serbuan itu pihak polis turut menangkap tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 38 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Dipercayai kumpulan ini terlibat dalam sindiket pengedaran dadah daripada Sarawak sampai ke Tawau dan untuk pasaran luar negara.

“Hasil daripada pemeriksaan ini juga mendapati bahawa salah seorang daripada mereka posiitf dadah jenis Methaphetamine dan salah seorang daripada suspek juga mempunyai rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Daerah Kota Kinabalu pada Isnin lalu (11 Sept) .

Sementara itu, Jauteh berkata, rampasan turut dibuat terhadap beberapa mata wang asing, barang kemas dan telefon bimbit yang bernilai lebih RM15,000.

“Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 14 September ini dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Exit mobile version