Site icon TUHAU BAMBANGAN

LAWATAN AGONG DIYAKINI BANTU PERCEPAT PEMBANGUNAN DI SABAH – HAJIJI

Gambar: Istana Negara

KOTA KINABALU: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Sabah yang berakhir semalam diyakini dapat membantu mempercepatkan pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kembara yang bermula di Tawau pada 3 September lalu itu juga turut disifatkan sebagai satu lawatan yang berharga dan bermakna buat seluruh rakyat di negeri ini.

Gambar: Istana Negara

“Kita cukup teruja dan gembira dengan lawatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan juga Raja Permaisuri Agong.

“Beliau menyatakan bahawa beliau begitu tersentuh hati dapat melalui Kembara Pan Borneo daripada Tawau sehingga lah selesai di Sipitang semalam. Beliau begitu senang hati dan banyak juga dalam kembara ini baginda dapat bertemu dengan rakyat biasa dan beberapa perkara dikemukakan kepada beliau dan akan di bawa perkara itu kepada Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri untuk tindakan.

“Kita juga cukup gembira kerana buat pertama kalinya seorang Raja Yang Di-Pertuan Agong membuat satu kembara yang begitu menawan hati rakyat kita di Sabah,” katanya.

Gambar: TuhauBambangan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong berkenan menyertai Kembara Kenali Borneo untuk mendekati penduduk Sabah, Sarawak yang melibatkan pengembaraan jarak sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo.

Turut berangkat mengikuti program Kembara Kenali Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Exit mobile version