KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kedudukan parti itu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan tergugat dengan dakwaan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang menyatakan mereka yakin mampu merampas semula Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, itu hanyalah cita-cita daripada pihak BERSATU Sabah dan beliau langsung tidak merasa tergugat lebih-lebih lagi dengan jumlah keahlian Gagasan Rakyat yang mendapat sambutan cukup baik.
“Itu cita-cita besar mereka, biarkan mereka, kita tunggu saja nanti.
“Kita tidak tergugat sebab kalau tengok daripada keahlian sambutan Gagasan Rakyat ini cukup hebat di Sabah.
“Bayangkan kalau kita dapat 300,000 dalam beberapa bulan setelah ditubuhkan. Jadi, biasalah, parti-parti politik ni ada yang cakap lebih-lebih sikit lah untuk meyakinkan rakyat, tapi biar rakyat yang menentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat di Pejabat Gagasan Rakyat, Alam Mesra pada Jumaat.
Terdahulu, Setiausaha Parti BERSATU Sabah, Abdul Kadir Damsal berkata, parti itu berjaya mengukuhkan semula pimpinan di peringkat Bahagian apabila 24 daripada 25 bahagian telah ditubuhkan semula dengan barisan pemimpin dan Ahli Jawatankuasa baharu.
Sementara itu, Hajiji pada masa sama turut memaklumkan mesyuarat AMT Gagasan Rakyat itu telah memutuskan bahawa mesyuarat persidangan bagi 73 bahagian di Sabah akan bermula pada 23 September hingga 15 Oktober 2023.
“Dan Mesyuarat Perhimpunan Agung pertama parti ini akan diadakan pada 13 dan 14 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Jadi kita telah selesai mengadakan mesyuarat cawangan seluruh Sabah. Saya pun cukup bangga kerana ahli kita telah mencecah kepada 300,000 orang di seluruh Sabah dan juga kita telah bersetuju untuk menubuhkan bahagian parti ini di Pulau Labuan,” jelasnya.