KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan lemas ditemukan meninggal dunia di Daradaat View, Kampung Ratau, Kota Belud hari ini.
Mayat Qiezelle Yukiko, 14 tahun ditemukan oleh pasukan Bomba dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada hari ketiga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa ditemui pada jam 10.20 pagi di 5 kilometer dari lokasi Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pasukan Bomba membawa mangsa ke PKTK dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Isnin lepas (28 Ogos), mangsa dilaporkan lemas dan di bawa arus semasa melakukan aktiviti mandi sungai bersama keluarga di Daradaat View, Kampung Ratau, Kota Belud kira-kira jam 2.30 petang.
Ayah mangsa, Gerald menerusi satu hantaran pesanan di aplikasi Whatsapp berkata, jasad anaknya ditemukan berada dalam keadaan sempurna sambil berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha mencari mangsa.
Beliau turut memohon maaf kepada semua yang mengenali anaknya dan meminta agar segala kesalahan dan dosa anaknya dimaafkan.
“Mohon urusan selepas ini dipermudahkan demi anak kami tercinta Qiezelle Yukiko. Tuhan memberkati kamu semua,” katanya.