Site icon TUHAU BAMBANGAN

SEMUA PIHAK BERTANGGUNGJAWAB PASTIKAN SEMUA PROJEK SIAP IKUT JADUAL – HAJIJI

Sumber Gambar: Facebook Rasmi Hajiji Haji Noor

PAPAR: Semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya Jabatan Air Sabah mesti memastikan semua projek menyelesaikan gangguan bekalan air dinegeri ini disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan kerana ini adalah keperluan asas rakyat, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji dalam tinjauannya ke lapangan pelaksanaan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua berkata, projek itu dijadualkan akan siap tiga tahun dari sekarang.

“Loji Rawatan Air ini akan dinaiktaraf dengan kos RM379 juta untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran harian kepada 80 juta liter yang akan memberi faedah kepada 160,000 pengguna di kawasan Putatan, Kinarut, Lok Kawi dan kawasan sekitarnya.

“Selain itu, empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion akan dibina di Ulu Padas, Tenom bagi penyelesaian jangka panjang kekurangan bekalan air di Sabah,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Katanya, empangan dengan kapasiti harian 6 juta liter ini dijangka akan siap pada tahun 2027.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri juga akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan empangan Kaiduan, Papar sebagai satu lagi penyelesaian jangka masa panjang kekurangan bekalan air sekali gus memenuhi keperluan para pelabur di negeri ini.

“Manakala gangguan bekalan air di kawasan Tuaran sehingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka akan selesai pada akhir tahun ini setelah isu yang melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Dua diselesaikan,” tegasnya.

Kerajaan pada masa sama akan meneruskan projek-projek menyelesaikan bekalan air di seluruh Sabah termasuk Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Exit mobile version