PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah mengambil sikap terbuka terhadap mana-mana parti politik yang mahu membentuk kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya tidak akan menolak apa juga cadangan yang penting ia membawa kebaikan kepada negeri serta menyatu-padukan rakyat Sabah.
“Kita terbuka dalam hal-hal untuk kebaikan Sabah. Sekarang ini, seperti mana kita sedia maklum, kerajaan negeri sekarang ada di antara GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kita satu kerajaan yang terbuka dalam apa juga cadangan yang baik untuk perpaduan rakyat dan negeri Sabah,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di Papar pada Jumaat.
Hajiji yang juga Ketua Menteri itu mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal (Warisan) yang dilaporkan berkata jalinan kerjasama antara Warisan dan GRS dilihat tidak mustahil demi rakyat Sabah.
Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata, pandangannya itu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Tertinggi Warisan untuk dipertimbangkan.
Parti Warisan yang diterajui oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan parti yang menyokong Kerajaan Pepaduan di peringkat pusat namun menjadi pembangkang bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.