Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUA BAND TERNAMA INDONESIA BAKAL GEGARKAN SABAH DALAM KONSERT 21 OKTOBER INI

KOTA KINABALU: ZR Project dan MW Pertama buat julung kali bakal menggabungkan dua band gergasi Indonesia, iaitu ST12 dan NIDJI dalam persembahan konsert di Sabah International Convention Center (SICC) Kota Kinabalu pada 21 Oktober ini.

Penganjurnya, Zizan Razak yang mewakili ZR Project berkata, genre muzik yang berbeza dari kedua-dua band itu bukan penghalang untuk mereka bersatu dan beraksi di atas panggung yang sama.

Jelas Zizan, pemilihan Sabah sebagai destinasi konsert adalah bertujuan untuk mempromosi kepelbagaian budaya yang ada di negeri ini selain melihat Sabah berpotensi untuk menjadi hab konsert pada masa akan datang.

“Banyak budaya yang menarik, jadi memilih Band Indonesia untuk datang ke sini kita sudah rancang dalam persembahan ini, kita tidak bagi mereka 100 peratus untuk membawakan genre mereka, tetapi kita nak mereka mainkan juga lagu-lagu Sabah dan juga genre-genre yang ada di Sabah.

“Maksudnya di sini kita kenalkan tradisi Sabah kepada mereka dan saya percaya mereka akan kagum dengan lagu-lagu tempatan Sabah seterusnya akan semakin terkenal di kawasan mereka, maka itu khazanah ini kita perlu perkenalkan,” katanya.

Zizan berkata demikian dalam Sidang Media ST12 and NIDJI Live In Sabah di SICC pada Jumaat.

Pihak penganjur menganggarkan konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu akan berjaya menarik lebih 5,000 penonton dengan harga tiket yang bermula serendah RM128 hingga RM688.

Exit mobile version