TAWAU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini melaporkan bahawa Sabah mencatatkan 2 kluster baharu, iaitu Kluster Serudung Baru, Tawau, ini merupakan kluster baharu di Mukim Balung, Daerah Tawau dan Kluster Samedra, Kota Kinabalu.
Kluster Serudung Baru ini berkait rapat dengan majlis hari jadi yang diadakan di rumah kes indeks dan dihadiri ahli keluarga pada 12 Jun lalu.
Kes indeks merupakan lelaki warga emas berusia 60 tahun, disahkan positif Covid-19 pada 16 Jun lalu di Klinik Kesihatan Apas Balung, setelah bergejala sejak 13 Jun.
Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun mendapati 9 individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.
Setakat hari ini, 9 lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 19 kes.
Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
Manakala Kluster Samedra, Kota Kinabalu melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan kakitangan pelantar minyak, iaitu di Platform FPSO KIKEH. Kes indeks merupakan penyelia lelaki berusia 35 tahun yang mula bergejala sejak 12 Jun lalu sebelum disahkan positif Covid-19 hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di klinik swasta.
Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan.
Sumber: JPBCNS