Site icon TUHAU BAMBANGAN

MINAT SAINS DALAM KALANGAN PELAJAR MENURUN 40 PERATUS

KOTA KINABALU: Hasil dapatan dari Kajian Kesedaran Awam mengenai Sains Teknologi Inovasi (STI) Malaysia 2022 menunjukkan penurunan minat dalam bidang sains bagi kalangan pelajar seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kajian oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) menunjukkan penurunan kepada 40 peratus pada tahun lepas berbanding 66.7 peratus pada 2019.

Katanya, terdapat empat sebab utama pendaftaran rendah dalam aliran sains.

“Pertama, minat pelajar lebih cenderung terhadap bidang yang bukan berteraskan sains, yang kedua persepsi bahawa sains adalah mata pelajaran yang sukar difahami dan mungkin sukar untuk lulus.

“Selain itu, persepsi bahawa mata pelajaran sains sukar untuk dikuasai dan seterusnya kekurangan minat dalam bidang sains di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmain Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Oleh itu, Arthur berkata, mengambil kira dapatan tersebut, MOSTI komited menyusun dan menyelaras pelaksanaan program pembudayaan Sains Teknologi Inovasi (STI), iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics

Katanya, MSN 2023 telah menetapkan pelaksanaan karnival melibatkan kolaborasi strategik MOSTI bersama pihak kerajaan negeri, Institut Pengajian Tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan pemain industri di negeri.

“Objektif pelaksanaan karnival di setiap negeri ini adalah untuk meraikan kepelbagaian dan keperluan negeri dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak-anak tempatan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, bagi tujuan itu, Karnival MSN menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti reruai pameran, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan STI serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat.

Exit mobile version