Site icon TUHAU BAMBANGAN

PENGASUH TASKA MENGAKU ANIAYA KANAK-KANAK 4 TAHUN DIHUKUM PENJARA DAN DENDA RM10,000

KOTA KINABALU: Seorang pengasuh Taska dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau 12 bulan lagi penjara oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di salah sebuah tadika di Penampang pada 8 Ogos lalu.

Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah, 27 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada pagi 8 Ogos bertempat di sebuah tadika di Penampang, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak telah menganiaya mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) dan Seksyen 31 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus.

Manakala, tertuduh diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman Jp dan Luke Ressa Balang.

Terdahulu, tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh di sebuah tadika bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan buku.

Exit mobile version