Site icon TUHAU BAMBANGAN

WANITA MAUT SELEPAS KERETA DIGILIS LORI DI JALAN LINTAS

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya digilis lori dalam satu kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Lintas Square, Jalan Lintas, Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, iaitu wanita berusia 26 tahun yang memandu kenderaan Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kampung Babah, Penampang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kepayan 88.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, kemalangan tersebut melibatkan tujuh buah kenderaan.

“Tujuh kenderaan itu ialah, jenis Perodua Bezza, Perodua Myvi, Toyota Vios, Proton Saga, Proton Iriz dan dua buah lori.

“Seorang mangsa wanita tersepit di kenderaan Perodua Bezza berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 7.56 petang.

Exit mobile version