Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ruang kerja sempit, dipercayai punca penularan jangkitan Covid-19 di Keningau

Gambar Hiasan

KENINGAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah (JPBCNS) hari ini melaporkan bahawa ruang tempat kerja yang sempit dipercayai menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 yang mana membabitkan kakitangan sebuah syarikat pembekalan elektrik di Keningau.

Kes ini mencetuskan kluster baharu berkaitan tempat kerja yang direkodkan pada hari ini.

Kluster Pintas – Lingkudau dan Tambunan hari ini merupakan kluster di tempat kerja. Kluster ini melibatkan Mukim Lingkudau, Luagan, dan Patikang di daerah Keningau dan Mukim Sunsuron di daerah Tambunan.

Kes indeks adalah pegawai eksekutif wanita berusia 34 tahun, di syarikat bekalan elektrik di Keningau yang disahkan positif ujian RTK-Ag melalui saringan bergejala di Poliklinik TMC pada 15 Jun lalu.

Susulan kes itu, saringan kontak yang dijalankan terhadap 82 individu berjaya mengesan dua (2) kes positif RTK-Ag dalam kalangan kontak rapat di tempat kerja oleh Pusat Saringan PKS IPG Keningau pada 16 Jun 2021.

Pada hari berikutnya, enam (6) lagi kes positif dilaporkan merangkumi satu (1) kes hasil saringan kontak rapat di Poliklinik TMC dan lima (5) kes positif kontak rapat melalui aktiviti lapangan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau.

Turut dikesan, satu (1) kes positif RTK-Ag yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Tambunan pada hari yang sama, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 10 kes.

Aktiviti pengesanan dan saringan kontak rapat serta penyiasatan punca penularan masih giat dijalankan.

Sumber: JPBCNS

Exit mobile version