Site icon TUHAU BAMBANGAN

ISU AMBALAT: G57 DESAK ADUN TUNGKU MOHON MAAF KERANA MEMFITNAH

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assafal Alian dari Parti Warisan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dipercayai memfitnah Kerajaan Pusat yang dituduh menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyataan yang dibuat Assafal itu ketika berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada minggu lalu dan telah disebar luas melalui rakaman video adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan yang dibuat wakil rakyat itu dan disebarkan melalui rakaman video adalah jelas satu perbuatan amat tidak bertanggungjawab dan juga mengancam kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kenyataan media oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin hari ini jelas menyebut perjanjian yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah.

“Ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Beliau turut menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982,” ujarnya.

Zulkarnain turut mengulas cara berpolitik pemimpin Parti Warisan yang disifatkannya berbahaya, di mana katanya, sasaran fitnah mereka tidak hanya terarah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tetapi juga Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi sasaran baru mereka.

“Justeru G57 sekali lagi mendesak agar ADUN Tungku segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan termasuk seluruh rakyat Sabah dan turut menggesa dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong dan mengelirukan DUN,” tegasnya.

Assafal dalam persidangan DUN Sabah pada 10 Ogos lalu, mendakwa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak Kerajaan Sabah dengan menyerahkan sempadan Ambalat kepada Indonesia.

Exit mobile version