Site icon TUHAU BAMBANGAN

CADANGAN GRS TANDING SEMUA 73 KERUSI DUN SABAH HANYA PANDANGAN PERIBADI PIMPINAN PARTI SAPP – NIZAM

KOTA KINABALU: Cadangan Parti Maju Sabah (SAPP) agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah merupakan pandangan peribadi pemimpin SAPP, iaitu Datuk Yong Teck Lee kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap menghormati pandangan beliau (Yong Teck Lee), namun bukan melambangkan pandangan GRS secara kolektif.

“Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam GRS.

“Kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah, untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambah beliau, kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Kita hargai kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada tahun ini, iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.

“Sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta,” katanya lagi.

Exit mobile version