Site icon TUHAU BAMBANGAN

HOSPITAL UMS TAWAR PERKHIDMATAN KLINIK BERGERAK DI KOTA BELUD

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) mengadakan perkhidmatan klinik bergerak menerusi Program KRIS (KPT Prihatin Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan II, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Ketua Pasukan Perubatan HUMS, Dr. Rishaini Elengovan, program tersebut memfokuskan jangkauan (outreach) kesihatan komuniti kepada masyarakat di luar bandar.

“Seramai 35 kakitangan daripada HUMS telah menjadi sukarelawan, terdiri daripada Pegawai Perubatan Pakar, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Jururawat bekerjasama sebagai sebuah kumpulan untuk menjayakan program ini.

“Antara perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang dilaksanakan ialah saringan, pemeriksaan asas kesihatan, perawatan kesihatan dan kebersihan diri.

“Kami juga menyediakan konsultasi daripada pakar kesihatan pegawai perubatan selain pemberian ubat-ubatan secara percuma,” katanya.

Rishaini berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, pelajar juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan runding cara pemakanan yang baik bersama sukarelawan yang terlibat.

Program itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Untuk rekod, program tersebut disertai oleh seramai 250 pelajar dan penduduk sekitar.

Exit mobile version