Site icon TUHAU BAMBANGAN

PERSATUAN PENGGUNA LEGA PROJEK NAIK TARAF LOJI AIR – DAVID

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah berharap masalah gangguan bekalan air di sekitar bandar raya negeri ini bakal berakhir berikutan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II Fasa II siap sepenuhnya kelak.

Presidennya, David Chan berkata, pengumuman Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini amat dialu-alukan oleh persatuan.

“Kita ingin melahirkan rasa lega dan berterima kasih dengan kenyataan mengenai projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II Fasa II.

“Apa yang kita harapkan ialah gangguan bekalan air akan dapat diatasi memandangkan sebelum ini masalah ini sering mengganggu kehidupan seharian penduduk, khususnya peniaga,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ir. Shahelmey mengenai projek berkenaan pada sidang DUN baru-baru ini sekali gus mengatasi masalah kadar permintaan air terawat semasa di kawasan terlibat sebanyak 221 Juta Liter Sehari (JLH) yang telah melebihi kapasiti rekabentuk logi sedia ada iaitu sebanyak 171 JLH.

Menurut Ir. Shahelmey, kekurangan bekalan ke kawasan berkenaan adalah sebanyak 50 JLH ataupun 29.2 peratus, manakala projek yang dijangkakan siap pada awal September ini akan dapat membekalkan tambahan air terawat sebanyak 20 peratus.

David dalam pada itu menggesa supaya peruntukan bagi menambah baik kemudahan bekalan air dan elektrik di Sabah disegerakan bagi menyelesaikan masalah yang sekian lama berlarutan.

Beliau turut menyentuh mengenai bantuan subsidi dan menambah baik prasarana bagi membantu golongan petani termasuk penanam padi yang berdepan banyak kerugian akibat faktor cuaca.

“Petani sukar untuk meneruskan sawah padi kerana sukar untuk memperoleh keuntungan akibat cuaca selain kekurangan kemudahan prasana,” ujar beliau.

Exit mobile version