Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH LULUS DUA RUU MELIBATKAN PEMAJUAN PERUMAHAN DAN BIODIVERSITI

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan pemajuan perumahan dan biodiversiti Sabah.

Dua RUU itu ialah Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 dan RUU Biodiversiti Sabah (Pindaan) 2023 yang masing-masing dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.

Bagi RUU Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) sebelum itu dibahaskan seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya ADUN Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee; ADUN Dilantik Dr. Aliakbar Gulasan; Jonnybone J. Kurum (Telupid); Datuk Ignatius Dorell Leiking (Moyog); Alias Sani (Sekong) dan Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Tanjung Papat).

Manakala RUU Biodiversiti Sabah turut dibahaskan oleh tujuh ADUN antaranya Jannie Lasimbang (Kapayan); Yusof Yacob (Sindumin); Rina Jainal (Kukusan); Jonnybone J. Kurum (Telupid); Datuk Dorell Leiking (Moyog); Lee Assafal @ Samsul Kamal P. Alian (Tungku) dan ADUN Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee.

Joachim ketika membentangkan RUU Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) itu berkata, secara amnya, Enakmen ini merupakan undang-undang bagi kawalan pelesenan urusan pemajuan perumahan di Sabah dan berperanan untuk melindungi kepentingan pembeli rumah. Enakmen ini telah dipinda kali terakhir pada tahun 2007.

Katanya, sejak itu, terdapat keperluan untuk mengemaskini dan menambahbaik Enakmen ini bagi memenuhi tuntutan rakyat khususnya untuk membantu pembeli rumah projek perumahan ‘sakit’ agar projek perumahan ‘sakit’ tersebut tidak melarat menjadi perumahan terbengkalai.

“Pindaan ini perlu kerana Enakmen yang sedia ada ini tidak mencukupi untuk membela nasib pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek perumahan ‘sakit’ selain memastikan masalah itu tidak berulang pada masa yang akan datang.

“Selain itu, pindaan ini juga adalah untuk memastikan pemantauan dan pengawalan ke atas pemajuan perumahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memantapkan lagi tindakan penguatkuasaan bagi mengurangkan masalah pemajuan perumahan di Sabah sekali gus dapat memberi lebih perlindungan kepada pembeli rumah,” katanya.

Sementara itu, Abidin ketika membentang RUU biodiversiti berkata, tujuan pindaan itu dibuat adalah untuk memperkasakan aktiviti pemuliharaan, penggunaan lestari, pengurusan, penguatkuasaan dan hal-hal berkenaan dengan akses dan perkongsian faedah hasil daripada penggunaan sumber biologi dan sumber genetic.

Katanya, ia termasuklah pengetahuan tradisi yang berkaitan dengan sumber biologi agar dapat dilaksanakan secara berkesan mengikut perundangan negeri dan antarabangsa yang berkuat kuasa.

“Semenjak tahun 2018, Pusat Biodiversiti Sabah telah beberapa kali menerima aduan orang awam berkenaan dengan kegiatan penyeludupan keluar biji durian spesis endemik.

“Pusat Biodiversiti Sabah juga menerima aduan penyeludupan keluar spesimen serangga bagi tujuan penyelidikan tanpa lesen akses dan lesen eksport Pusat Biodiversiti Sabah yang dikeluarkan di bawah Enakmen.

“Sekiranya isu ini dibiarkan maka sumber biologi Sabah berkemungkinan dieksploitasi dan dikomersilkan di negara lain. Perkara ini akan merugikan Kerajaan Sabah sekiranya sumber genetik sumber biologi berkenaan dibangunkan dan dipatenkan di negara lain,” katanya.

Justeru katanya, Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 dipinda untuk mengadakan peruntukan bagi kawalan kepada sumber biologi agar tiada seorang pun boleh menyimpan, menjual, membeli, mengeksport atau mengimport apa-apa sumber biologi yang dilindungi tanpa lesen yang sah daripada Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah.

Exit mobile version