Site icon TUHAU BAMBANGAN

SEMUA TASKA DI SABAH DIWAJIBKAN PASANG CCTV – JAMES

KOTA KINABALU: Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) khususnya di negeri Sabah diwajibkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka sebelum memperbaharui lesen operasi TASKA.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk james Ratib berkata, ia adalah bagi memastikan ibu bapa terus meletakkan kepercayaan kepada TASKA untuk menjaga anak mereka dengan selamat dan tidak diragui.

“Saya amat kesal dengan kejadian tersebut dan apabila kita meneliti syarikat ini ada dua lesen iaitu mengendalikan TASKA dan juga Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA). Selaku menteri bertanggungjawab khususnya di Sabah, saya melihat perkara ini secara serius.

“Jadi saya minta terutama sekali kepada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah supaya membuat satu garis panduan terutama dalam pengambilan pengasuh dimana saya mahu mereka yang diambil ini benar-benar menyayangi kanak-kanak sebab kita tidak mahu ia terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini bagi mengulas kes dera yang berlaku di sebuah TASKA di Luyang dan turut tular di media sosial semalam.

James berkata, pihaknya juga tidak mahu ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA atau TADIKA akan hilang kepercayaan disebabkan perkara-perkara sedemikian.

Katanya, semua pengendali TASKA di negeri ini khususnya dibawah kendalian kementeriannya akan dipanggil untuk diberi nasihat bagi memastikan perkara itu tidak lagi berulang.

Dalam pada itu, James berkata, pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di TASKA dan TADIKA bagi memastikan keselamatan anak-anak terjaga.

“Mungkin juga kita akan wujudkan PIBG dan mungkin akan datang salah satu keputusan adalah untuk menubuhkan PIBG ini supaya perkara ini tidak lagi berlaku. Kita akan bincangkan kemudian,” katanya.

Sementara itu, James berkata, sehingga kini sebanyak lebih 300 TASKA telah berdaftar di seluruh Sabah khususnya yang bernaung dibawah beberapa agensi dan jabatan kebajikan.

“Setakat ini mungkin ada lebih kurang 300 TASKAdi seluruh Sabah dimana TASKA ini ada yang bernaung dibawah JPKA, Jabatan Perpaduan dan beberapa agensi Kerjajaan lain di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Jumlah ini tidak termasuk swasta, swasta bukan kendalian kita namun pihak kita yang keluarkan lesen pengoperasian,” katanya.

Exit mobile version