KOTA KINABALU: Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah telah meningkat kepada 90.45 peratus setakat suku pertama tahun 2023.
Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi berkata, dalam usaha mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih, sebanyak 4,158 stesen pemancar telah dinaiktaraf kepada 4G daripada, 4,186 stesen pemancar yang telah dirancang di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Manakala baki 28 stesen pemancar masih dalam peringkat pelaksanaan.
“Bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Sabah, sebanyak 169 buah menara telah sipa dibina daripada 616 jumlah menara yang dirancang di bawah JENDELA.
“Manakala, baki 447 buah menara masih dalam peringkat pelaksanaan,” katanya dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam yang bertanya berapa menara telekomunikasi yang telah siap dibina di seluruh Sabah sehingga hari ini dan apakah status terkini peruntukan pembinaan menara tersebut yang disediakan Kerajaan Pusat.
Tambah beliau, kesemua inisiatif yang dinyatakan dijangka akan siap dan beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2025, manakala perkhidmatan jalur lebar satelit pula, kesemua 138 lokasi telah siap dan beroperasi seluruh Sabah.
“Pelaksanaan JENDELA di Sabah melibatkan peruntukan kerajaan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pelaburan komersial oleh syarikat pemberi perkhidmatan, secara keselurhannya dianggarkan sebanyak RM4.2 bilion.
“Setakat suku pertama tahun 2023, anggaran sebanyak RM2.9 bilion telah dilaksanakan manakala bakinya dalam peringkat pelaksanaan,” jelasnya.