RANAU: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mosar Ranau berjaya menurunkan seorang mangsa yang cedera akibat terseliuh kaki kanan ketika mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa lalu (8 Ogos).
Ketua BBP Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan terhadap laporan insiden pada jam 10.20 pagi.
“Balai kami menerima laporan daripada seorang Malim bahawa terdapat seorang mangsa, iaitu perempuan berusia 20 tahun, cedera dan terseliuh kaki kanan di kilometer 6.6 dari kaki Gunung Kinabalu.
“Pasukan Mosar kemudian memberikan rawatan awal dan membawa turun mangsa ke Timpohon Gate menggunakan Robinson Stretcher,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa lalu (8 Ogos).
Tambah Ridwan, mangsa memaklumkan akan ke hospital dengan sendiri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain terlibat, operasi tamat pada jam 3 petang,” katanya.