Site icon TUHAU BAMBANGAN

KANAK-KANAK 4 TAHUN DIKASARI DI SEBUAH TADIKA DAERAH KOTA KINABALU

KOTA KINABALU: Pihak polis daerah Kota Kinabalu telah mengesan satu rakaman video yang telah tular dimana seorang kanak-kanak telah dikasari oleh pengasuh sebuah tadika pada Selasa lalu (8 Ogos).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati, insiden telah berlaku di sebuah tadika di Luyang, Kota Kinabalu.

“Ibubapa kepada kanak-kanak berusia 4 tahun tersebut telah dimaklumkan oleh anaknya dimana telah dikasari dan mendapat kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

https://tuhaubambangan.com/wp-content/uploads/2023/08/1691586383130_1691586383131.mp4

“Ibubapa kepada kanak-kanak itu telah pergi ke tadika tersebut bagi mendapatkan rakaman CCTV dan mendapati anak mereka telah dikasari oleh pengasuh tadika dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Penampang,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, tiga laporan polis telah diterima setakat ini dimana laporan tersebut dibuat oleh Ibubapa kanak-kanak itu, pengusaha tadika dan pengasuh tadika (suspek).

“Pengasuh dalam laporannya mendakwa beliau telah dikasari oleh bapa mangsa di tadika berkenaan.

“Mangsa dan suspek telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II bagi mendapatkan rawatan doktor,” jelasnya.

Tambah Mohd Zaidi, dua kertas siasatan telah dibuka, iaitu yang pertama dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi kertas siasatan ke-2, dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Exit mobile version