BEAUFORT: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika memukat di kawasan pesisir pantai Kampung Kiaru, Kuala Penyu ditemukan maut pada pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, mangsa, Mohd Lin @ Juslin, 62 tahun ditemukan kira-kira jam 8.30 pagi.
“Mangsa telah dijumpai oleh pasukan bomba bersama orang kampung pada jarak 2 kilometer dari persisiran pantai Kampung Kiaru.
“Mayat mangsa kemudian diserahakn kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas orang awam melihat bot mangsa berada dalam keadaan kosong di tengah laut.
“Menurut pemanggil, mangsa keluar ke laut menggunakan bot pada jam 6 petang, 8 Ogos lalu untuk melakukan aktiviti memukat.
“Bagaimanapun, mangsa didapati belum pulang ke rumah dan saksi turut melihat bot mangsa kelihatan di tengah laut dalam keadaan kosong,” katanya.
Awang berkata, bertindak mengikut maklumat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh sepasukan pegawai dari BBP Kuala Penyu bersama orang kampung dan seterusnya menemukan mangsa pada SAR hari kedua.