Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: GUNA PERUNTUKAN SENDIRI TANGANI KRISIS AIR

KOTA KINABALU: Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri pada 26 Julai lalu bersetuju supaya menggunakan peruntukan kewangan dari kerajaan negeri terlebih dahulu bagi pelaksanaan keutamaan pembangunan khas khusus menangani krisis kekurangan bekalan air di Sabah.

Menteri Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Shahelemy Yahya berkata, ia adalah susulan daripada peruntukan sebanyak RM320 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Sabah bagi tujuan membantu menyelesaikan krisis air, belum disalurkan.

“Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah memulakan kertas kerja penyediaan pra-pelaksanan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus kelulusan peruntukan disalurkan,” katanya dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee yang bertanya mengenai perkembangan peruntukan pembangunan khas bagi isu bekalan air di Sabah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan adakah sudah diterima serta sejauh mana pelaksanaannya.

Sementara itu, menjawab soalan ADUN Dilantik mengenai gesaan agar pelaksanaan dipercepat, Shahelmey berkata, Kerajaan Negeri Sabah sudah bersetuju untuk memastikan JANS dapat memulakan program-program yang telah dirancang.

“Ini bukan isu teknikal, hanya isu pemerolehan kewangan. Selepas mendapat keputusan dari kerajaan negeri, JANS bersedia melaksanakan lapan inisiatif yang telah dipersetujui dengan jawatankuausa teknikal di peringkat persekutuan.

“Walaupun peruntukan ini menjadi isu buat seketika, tetapi sebenarnya JANS telah memulakan atau membentuk satu jawatankuasa khas untuk program pemulihan dan penstabilan tekanan air khususnya di Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan.

“Daripada kerja-kerja yang dilakukan (Pemulihan) pada bulan Jun sehingga kini, kita dapat melihat ada peningkatan terhadap kestabilan tekanan air di kawasan Kota Kinabalu dan menjadikan agihan bekalan air agak terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Tambah Shahelemy, dengan kelulusan dari kerajaan negeri, kerja-kerja panggilan tender dan sebagainya untuk lapan program yang dikenal pasti akan dimulakan.

“Kita berharap hasilnya nanti agihan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu dan beberapa tempat yang lain akan menjadi stabil,” jelasnya.

Exit mobile version