Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: KERAJAAN SABAH GARIS 3 FASA SELESAI MASALAH ELEKTRIK

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menggariskan tiga fasa bagi menyelesaikan masalah elektrik di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan melalui mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah telah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan (Power Development Plan atau PDP pada 12 Jun lalu bagi memenuhi permintaan pengguna.

Katanya, PDP mengambil kira pertumbuhan organik, iaitu anjuran penambahan keperluan beban yang lazim yakni peningkatan pengguna domestik dan pengguna kategori lain yang kecil dan keperluan beban ‘Step Load’ oleh pengguna dari industri besar yang komited.

Jelasnya, fasa pertama dalam strategi PDP ialah, fasa penyelesaian segera (2023-2025) bertujuan untuk mencapai jidar simpanan penjanaan (Generation Spare Capacity) ke tahap kukuh, iaitu 30 peratus.

“Dengan erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 Megawatt) berbanding beban maksima grid Sabah (yang kini telah mencecah hampir 1,100 Megawatt).

“Untuk tujuan ini, beberapa projek fast-track telah diputuskan termasuk projek penyewaan powership berkapasiti 224 Megawatt yang akan beroperasi di pantai timur Sabah pada penghujung tahun ini. Manakala, pelbagai tindakan mitigasi yang lain sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kebolehharapan loji jana kuasa sedia ada,” katanya semasa sesi soal jawab dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Daud Yusof yang bertanya tentang apakah hala tuju penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna.

Nizam berkata, fasa kedua pula adalah, fasa penyelesaian jangka sederhana (2026-2030) yang melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek solar berksala besar berjumlah 100 Megawatt dan lain-lain projek penjanaan.

“Terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link yang akan menghubungkan Sipitang dengan Tawau. Ini akan mengukuhkan kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya pengguna–pengguna industri pada masa akan datang.

“Ketiga ialah, fasa penyelesaian jangka panjang (selepas 2030) yang tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidro elektrik di negeri Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS).

“Di samping itu, penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu akan juga dilaksanakan seperti Geothermal, Wind, Hydrogen dan Battery Energy Storage System (BESS). Perancangan sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Kalimantan Utara akan juga diterokai berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat pada tahun ini,” jelasnya.

Exit mobile version