Site icon TUHAU BAMBANGAN

LEBIH 700 RIBU PENERIMA STR DI SABAH – HAJIJI

KOTA KINABALU: Seramai 799,782 orang penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi negeri Sabah melibatkan peruntukan sebanyak RM696.3 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah penerima STR tersebut tidak berdasarkan kategori mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Namun begitu, berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Kapayan yang diekstrak berdasarkan maklumat alamat dan poskod yang dikemukakan oleh pemohon, terdapat 1,345 penerima dengan peruntukan lebih kurang RM1 juta,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN ke-16 pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang mengenai berapakah jumlah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Sabah setakat tahun 2023, khususnya di Kapayan dan apakah sebab-sebab bagi pemohon yang gagal mendapatkan bantuan ini.

Hajiji turut menjelaskan antara sebab-sebab permohonan STR tidak diluluskan adalah kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan seperti pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang, kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan/ perceraian dan tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa.

Katanya, dari segi kaedah pembayaran, STR dikreditkan terus ke akaun bank penerima dan telah dilaksanakan mengikut fasa.

“Terkini, pembayaran Fasa 3 adalah pada 26 Jun 2023 sehingga 5 Julai 2023. Manakala, penerima yang tiada akaun bank pula, boleh membuat penunaian di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional yang berdekatan sehingga 31 Disember 2023.

“Bagi memastikan STR ini juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan program penunaian di lapangan yang melibatkan daerah-daerah yang berkaitan di negeri Sabah bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September 2023,” jelasnya.

Hajiji turut memaklumkan individu yang layak menerima STR terdiri dari tiga kategori syarat kelayakan.

“Pertama ialah kategori Isi Rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM5,000.00, kedua ialah kategori Warga Emas Tiada Pasangan yang mempunyai pendapatan di bawah RM5,000.00 dan berusia 60 tahun dan ke atas

“Ketiga ialah kategori Bujang yang mempunyai pendapatan di bawah RM2,500.00 dan berusia antara 21 tahun sehingga 59 tahun. Bagi Bujang OKU, had umur adalah antara 19 tahun sehingga 59 tahun dengan pendapatan di bawah RM2,500.00,”katanya.

Menurutnya, pembayaran secara berfasa empat kali setahun iaitu Fasa Pertama – Januari 2023; Fasa Kedua – April 2023; Fasa Ketiga – mulai 26 Jun 2023; dan Fasa Keempat – dijangka November 2023.

“Manakala bilangan penerima tidak mempunyai akaun adalah 21,523 orang dan rekod penunaian bagi negeri Sabah sebingga Fasa 3 berjumlah RM494 juta.

“Baki sebanyak RM202 juta akan disalurkan dalam Fasa 4 iaitu pada bulan November 2023 dan juga melalui penunaian STR dalam kalangan penerima yang tiada akaun bank yang boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu turut dimaklumkan mengenai Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Hajiji berkata, ia merupakan program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah dan bertujuan untuk meringankan beban sara hidup golongan miskin tegar.

Katanya, jumlah penerima SARA di negeri Sabah adalah seramai 35,461 orang dengan peruntukan kewangan sebanyak RM21,276,600.

“Bantuan yang bernilai RM600.00 ini disalurkan kepada isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang tersenarai sebagai ‘Miskin Tegar’ mengikut data eKasih sehingga 28 Februari 2023.

“Berbeza dengan penerima di Semenanjung Malaysia yang akan menerima bantuan ini dalam bentuk barang keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM600.00 yang dikreditkan ke dalam kad pengenalan sebanyak RM100.00 setiap bulan bermula Julai sehingga Disember 2023, tetapi penerima di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan pula akan menerima bayaran sebanyak RM600.00 dan dikreditkan sekaligus ke akaun bank penerima atau secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional di seluruh negara bermula pada 7 Ogos 2023,” jelas beliau.

Exit mobile version