Site icon TUHAU BAMBANGAN

WARGA EMAS HILANG: PENCARIAN JURIN DITAMATKAN PADA SAR HARI KE-6

RANAU: Pencarian warga emas yang dilaporkan hilang pada 2 Ogos lalu telah ditamatkan selepas Misi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada hari keenam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, laporan hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi SAR mangsa yang dipercayai hilang telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi hari ini.

“Operasi akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baru ditemui,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan warga emas yang dikenali sebagai Jurin Sagantoh, 62 tahun masuk ke hutan pada 21 Julai lalu untuk melakukan aktiviti mencari rotan dan tidak pernah pulang hingga ke hari ini.

Keluarga mangsa bagaimanapun melaporkan kehilangan Jurin pada jam 8.05 pagi, 2 Ogos lalu kepada pihak BBP Ranau setelah gagal mengesannya.

Operasi mencari mangsa sebelum ini telah melibatkan beberapa agensi seperti Bomba, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk kampung.

Exit mobile version