Site icon TUHAU BAMBANGAN

BAPA MABUK SEBELUM MAUT DIPUKUL ANAK SENDIRI DALAM SATU PERGADUHAN

SEREMBAN: Seorang lelaki maut dipercayai dipukul anak sendiri hingga mati selepas berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek.

Kejadian dikatakan berlaku di hadapan rumah di Taman D’Ambang Kota, Lukut, Port Dickson kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aisi Sham Mohamed berkata, polis menerima panggilan dari seorang lelaki mengatakan bapanya (mangsa) sudah tidak sedarkan diri.

“Pembantu Pegawai Perubatan yang datang dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian pada jam 1.15 pagi tadi.

“Mayat kemudian terus dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, hasil siasatan polis mendapati sebelum kejadian mangsa didapati berada dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dipercayai bergaduh serta dipukul oleh anak lelakinya yang tidak berpuas hati kerana mangsa dipercayai mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising.

“Mangsa yang berusia 49 tahun merupakan bapa kepada suspek yang berusia 26 tahun dan semakan rekod lampau pula mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.

Katanya lagi, suspek terus ditangkap polis hari ini pada jam 1.20 pagi di hadapan rumah Taman D’Ambang Kota Lukut Port Dickson.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Seremban dan reman dibenarkan selama lima hari bermula hari ini sehingga 9 Ogos nanti.

“Ke disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegas kenyataan itu.

Exit mobile version