KOTA KINABALU: Bahasa, budaya dan adat etnik di Sabah perlu diperkasa agar tidak terpinggir dalam kemodenan dan teknologi masa kini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kepelbagaian etnik di Sabah yang terdiri daripada 35 etnik dan 217 sub etnik, menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek perlu dipertahankan untuk diwarisi generasi muda akan datang.
“Saya mahu persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Lagu SABAHVfm semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di Sabah juga akan diperkasakan.
Tambah Hajiji, rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing agar dikenali oleh generasi muda dan orang luar.
“Muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik serta menarik,” jelasnya.