INDONESIA: Dua wakil rakyat tempatan di daerah Sinjai ditahan ketika cuba mengambil dadah jenis syabu di sebuah hotel di bandar Makassar, Sulawesi Selatan pada hujung bulan lepas.
Pengarah Bahagian Narkotik Sulawesi Selatan, Komisioner Kanan Darmawan Affandi berkata, mereka terdiri daripada wakil Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Golkar.
Dalam sidang media semalam, Affandi berkata, kedua-dua wakil rakyat itu ditahan di hotel Maleo susulan penahanan seorang penghantar dadah yang membantu suspek mendapatkan satu paket syabu.
Katanya kes masih disiasat sementara pihaknya menemui satu lagi paket dadah jenis kristal seberat 0.39 gram.
Tambah Affandi, kedua-dua suspek mungkin mendapatkan dadah itu untuk kegunaan peribadi dan mungkin meminta penghantar dadah membantunya membeli dadah tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, kajian bersama Badan Narkotik Nasional (BNN) dan Insititut Sains Indonesia (LIPI) pada 2019 mendapati terdapat lebih 3.4 juta pengguna dadah di Indonesia.
Kajian dan tinjauan yang dijalankan di 34 daerah menunjukkan kira-kira 180 daripada 10,000 rakyat Indonesia dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun menagih dadah.
Pengguna syabu, narkotik, ganja dan dadah jenis lain boleh tergolong dalam mana-mana komuniti dan latar belakang sosioekonomi dan budaya.
Maka, tidak hairanlah jika ahli politik, pelajar dann artis kadangkala menjadi penagih dadah.
Sumber: AGENSI