Site icon TUHAU BAMBANGAN

KOMPLEKS SUKAN TUN ADNAN KINI BOLEH DI TEMPAH SECARA ONLINE DI APLIKASI GONET

KOTA KINABALU: Kemudahan sukan di Kompleks Sukan Tun Adnan di sini, kini boleh ditempah lebih mudah dengan aplikasi tempahan secara atas talian melalui aplikasi GoNet.

Pengerusi Lembaga Pengarah Innoprise Capital Sdn Bhd, Datuk Jaffari Waliam berkata, paar pelanggan khususnya peminat arena sukan di negeri ini dapat menjimatkan masa dalam membuat tempahan dengan hanya melalui aplikasi GoNet pada bila-bila masa.

“Seperti yang sedia maklum, kompleks sukan ini merupakan salah satu penyedia kemudahan sukan di kawasan Kota Kinabalu kerana terletak di kawasan yang strategik dan mempunyai pelbagai kemudahan sukan yang lengkap untuk sebarang penganjuran sukan dari skala kecil hingga ke skala besar.

“Bagi menambah baik tadbir urus berkaitan dengan pengurusan penyewaan dan kutipan sewaan kemudahan sukan yang terdapat di sini maka pihak syarikat mengimplementasikan tempahan dalam talian sebagai salah satu perubahan kepada tadbir urus kerja mengikut arus pemodenan teknologi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Aplikasi Tempahan Secara Dalam Talian GoNet Kemudahan Sukan di Kompleks Sukan Tun Adnan di sini, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan turut hadir sama pada majlis itu ialah, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.

Jaffari pada masa sama berkata, kepercayaan menggunakan sistem yang dibangun oleh GoNet Holding Sdn Bhd adalah mengambil kira pengalaman syarikat ini dalam menyediakan perkhidmatan kepada Lembaga Sukan Negeri Sabah bagi urusan tempahan dan bayaran kemudahan sukan yang dikendalikan di seluruh Sabah.

“GoNet Holdings Sdn Bhd juga merupakan satu-satunya pembekal perkhidmatan seumpamanya daripada Sabah dan mempunyai lesen daripada Bank Negara Malaysia bagi pengeluar e-wallet bukan bank yang diluluskan dan dilesenkan untuk melaksanakan kutipan pembayaran dan transaksi wang secara dalam talian.

“Aplikasi GoNet ini boleh dimuat turun melalui Google PlayStore, App Store dan Huawei AppGallery,” katanya.

Exit mobile version