Site icon TUHAU BAMBANGAN

EXCO WANITA PGRS ANJUR SABAH FEC 2023

TAWAU: Golongan belia, wanita dan pencari kerja diminta supaya merebut peluang mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan pada Karnival Keusahawanan Dan Kerjaya Zon Pantai Timur 2023 (Sabah FEC 2023).

Karnival anjuran Exco Wanita Biro Keusahawanan Gagasan (PGRS) dengan kerjasama agensi kerajaan ini diadakan pada 12 dan 13 Ogos depan di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Pengerusi Penganjur Karnival berkenaan, Puan Shazlinah Lai Wun Fong berkata, karnival yang julung kali itu, menawarkan peluang pekerjaan dan maklumat kepada mereka yang mahu menjadi usahawan.

Katanya, pada karnival ini, diadakan sesi temuduga jawatan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di seluruh negara.

“Selain itu, agensi-agensi kerajaan berkaitan juga akan menyalurkan maklumat mengenai bantuan geran dan dana yang boleh dipohon usahawan.

“Sebanyak 20 agensi dijangka turut serta antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain dengan sasaran pengunjung sehingga 6,000 orang,” katanya ketika sidang media, di sini.

Menurut Shazlinah yang juga merupakan Exco Wanita PGRS ,pelbagai aktiviti dirancang sepanjang karnival ini termasuklah permainan bertemakan malam kemasyarakatan, persembahan tarian kebudayaan, cabutan bertuah, pertandingan Mobile Legend, pertandingan fesyen kanak-kanak dan konsert.

Beliau berkata, karnival yang bermula dari jam 8 pagi sehingga 11 malam itu dijangka bakal dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Pemilihan lokasi di kawasan pantai timur Sabah ini adalah bagi memastikan tidak ada lagi masyarakat yang tercicir daripada mendapatkan maklumat khususnya berkaitan keusahawanan,” katanya.

SUMBER : GAGASAN RAKYAT

Exit mobile version