Site icon TUHAU BAMBANGAN

MAYAT LELAKI DITEMUI DALAM LONGKANG SETELAH HILANG 9 HARI

PUTATAN: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak sembilan hari lalu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Kota Kinabalu – Papar berhampiran Kem Lok Kawi, di sini pada Selasa.

Mayat Sefuan Taha, 33 tahun ditemukan bersama motosikal miliknya oleh seorang pemotong rumput yang melakukan kerja pembersihan di kawasan itu pada jam 8 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 8.30 pagi mengenai laporan penemuan mayat tersebut daripada orang awam.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Kota Kinabalu menghala ke Papar telah hilang kawalan.

“Motosikal mangsa kemudian terbabas sebelum masuk ke longkang sebelah kiri dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayatnya kemudian ditemukan olej seorang pekerja pembersihan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Sammy, sebelum ini ahli keluarga telah pun melaporkan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumahnya.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalana 1987.

“Saksi kejadian kes ini diminta tampil untuk memberikan maklumat segera di balai berdekatan dan orang ramai juga diminta tidak menyebarkan gambar mangsa di lokasi kejadian dan fakta yang tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga,” tegasnya.

Pada Ahad lalu dilaporkan mangsa yang bekerja sebagai pembantu bot Jeti Sutera Harbour di kota Kinabalu tidak dapat dihubungi dan tidak pulang ke rumahnya sejak 23 Julai lalu.

Sumber: SH

Exit mobile version