SEPANGGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas minuman keras bernilai lebih RM300.000 termasuk anggaran duti dan cukai yang disyaki cuba di seludup masuk ke dalam negara pada Jumaat lalu.
Rampasan telah dilakukan lebih kurang jam 2 petang oleh pasukan anggota daripada Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan dilakukan menerusi hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas terhadap satu kontena.
“Hasil pemeriksaan lanjut didapati kontena adalah berisi sejumlah 19,800 liter minuman keras jenis beer dan jenama ialah ‘cool beer’.
“Anggaran nilai harga minuman keras tersebut ialah, RM75,050.00 dan anggaran nilai duti dan cukai yang terlibat adalah berjumlah RM306,980.00,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sepanggar pada Selasa.
Manakala modus operandi bagi kes ini adalah melalui pengikraran barangan palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain.
“Barangan diikrar sebagai barang dagangan import seperti kertas printing, kerusi, pakaian, bingkai dan lain-lain”, jelasnya.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, akan memperuntukkan denda tida kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.