Site icon TUHAU BAMBANGAN

JULUNG KALI SABAH BERJAYA JUAL KARGO MINYAK MENTAH KEPADA SIETCO

KOTA KINABALU: Sabah buat julung kalinya berjaya menjual kargo minyak mentah daripada 50 peratus kepentingannya dalam PSC Samarang semalam.

PSC Semarang telah menandatangani pengeluaran invois rasminya kepada pembeli minyak mentah, Shell International Eastern Trading Company (SIETCO).

Menurut kenyataan media SMJ Sdn Bhd, penyelesaian pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam PSC Samarang pada 31 Mei lalu telah membenarkan Sabah menjual hak minyak mentahnya di Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) kepada SIETCO di bawah kontrak.

Jelas kenyataan itu, jualan pertama dan seterusnya ini diunjurkan membawa hasil berterusan untuk Sabah bagi tempoh PSC Samarang.

“PSC Samarang mempunyai tujuh medan pengeluaran minyak dan gas sedia ada iaitu Samarang, Samarang Kechil, Sumandak, Zuhal, Alab, Erb West, dan Kinarut, serta dua terminal penerima gas di Kota Kinabalu dan Labuan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) menjadi pengendali PSC Samarang sejak 1995 dan telah menandatangani perjanjian tambahan PSC dengan PETRONAS pada 2018 untuk melanjutkan operasi PSC sehingga 31 Disember 2035.

“Ini adalah satu lagi perkembangan penting selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah pada 7 Disember 2021.

“Pada 25 April 2023, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) untuk pengambilalihan 25 peratus kepentingan penyertaan dalam Sabah Loji petrokimia Ammonia-Urea (SAMUR),” katanya.

Selain itu, SMJSB turut menandatangani Surat Persefahaman (LoU) berurusan mengenai pengaturan ‘back-in option block SB409’.

“Kontrak Perkongsian Pengeluaran memberi Sabah entity yang dimiliki sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan setelah selesai komitmen kerja atau penemuan komersial, yang mana lebih awal.

“Pada 31 Mei lalu, SMJSB telah menyelesaikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam PSC Samarang. Justeru, Sabah akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan dalam industri minyak dan gas di Sabah,” katanya.

SUMBER: UB

Exit mobile version