Site icon TUHAU BAMBANGAN

TRAGEDI DOUBLE SIX: MANA HILANGNYA KOTAK HITAM? – Jeffrey

KOTA KINABALU: Laporan tragedi Double Six yang didedahkan pada April lalu dilihat masih menjadi tanda tanya ramai pihak khususnya keluarga mangsa yang terkorban.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, laporan itu juga sepatutnya wajar didedahkan lebih awal dan tidak disembunyikan selepas tragedi berlaku.

“Walaupun laporan telah didedahkan, namun masih banyak persoalan tentang isu ini termasuklah beberapa perkara. Jika itu sahaja yang didedahkan, laporan itu tidak ada apa kesan.

“Persoalannya kini kenapa begitu lama disembunyikan, kenapa tidak didedahkan dari mula. Ini semua memberi kita satu persoalan yang bermain di kepala kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara memperingati tragedi berkenaan yang diadakan di Tugu Peringatan Double Six Sembulan bagi mewakil Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Tambah Jeffrey, pihaknya turut mempersoalkan laporan forensik pesawat berkenaan seperti ke mana hilangnya kotak hitam pada pesawat tersebut.

“Paling penting ialah dimana kotak hitam, kotak hitam itu mungkin akan dapat memberi maklumat lebih terperinci apa yang berlaku.

“Kenapa sehingga kini tidak boleh dikesan, adakah kotak itu hilang atau dihilangkan, ini menjadi persoalan sekarang,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata, kerajaan Sabah kini menyerahkan kepada keluarga mangsa mengenai tindakan lanjut mereka berhubung pendedahan tersebut dan akan sentiasa menyokong apa sahaja kemahuan ahli keluarga mangsa selagi tindakan itu disifatkan sebagai perkara yang tepat untuk dilakukan.

Tragedi Double Six merujuk kepada nahas pesawat Nomad yang terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di perairan Kampung Sembulan pada 6 Jun 1976.

Ketika kejadian, semua penumpang pesawat termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephen dan beberapa anggota kabinet negeri dalam penerbangan dari Labuan telah terkorban.

Exit mobile version