KOTA KINABALU: Menurut laporan dari Utusan Borneo pada Ahad lalu (13 Jun), sebanyak 700 kenderaan diarah patah balik semasa operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sejumlah 147 SJR dilaksanakan yang mana membabitkan pemeriksaan sebanyak 66,637 kenderaan.
Bagaimanapun katanya daripada jumlah itu, sebanyak 700 kenderaan diarah patah balik.
Selain operasi SJR, Polis Diraja Malasia (PDRM) turut melaksanakan sebanyak 66 hebahan melalui kereta peronda dan tiada tangkapan dibuat.
“Sebanyak 61 kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dikeluarkan di seluruh Sabah termasuk 24 orang atas keslahan tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup separuh muka dengan betul.
“Seramia 6 orang didapati gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran pelanggan, 10 orang membawa penumpang berlebihan, manakala 21 orang lagi keluar rumah tanpa alasan munasabah,” terang Masidi dalam satu kenyataan.
Menurutnya juga, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) melibatkan 127 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 28 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
Masidi berkata, hasil pemeriksaan, 3 tangkapan telah dibuat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Sebanyak 461 premis perniagaan diperiksa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau berkata, 1 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di kawasan awam oleh Majlis Daerah Kuala Penyu. – UB
Keluar tanpa urusan dan alasan yang munasabah di musim PKP dengan 700 kenderaan bukanlah jumlah yang sedikit. Bagaimana kita mampu memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus menular, jika kita tidak laksanakan tanggungjawab masing-masing? Pihak kerajaan sudah bertungkus lumus dalam usaha mencari jalan untuk memutuskan rantaian Covid-19. Dan kita sebagai rakyat yang masih berfikiran waras sokong usaha-usaha ini bagi kebaikan sesama.