Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: SHAHELEMY AKUI KELEMAHAN PENGURUSAN JABATAN AIR, JAMIN TAMBAH BAIK KEKURANGAN

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmy Yahya mengakui terdapat kelemahan dalam proses pelaksanaan melibatkan urus tadbir jabatan air negeri sabah dan beberapa kontraktor yang dilantik.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dan baru empat bulan mengemudi kementerian itu memberi jaminan akan menambah baik kelemahan tersebut sekali gus dapat memastikan masalah bekalan air di negeri itu dapat diatasi.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang menjalankan program untuk mengurangkan Air Tidak Terhasil (NRW). Berkaitan dengan kutipan hasil, JANS akan mempertingkatkan jumlah tenaga kerja bagi tujuan membantu meningkatkan atau memperkemaskan tadbir urus JANS dan juga memungut hasil-hasil yang tertunggak.

“Saya sedar masalah air yang berlarutan sejak sekian lama adalah berpunca dari kelewatan pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang seperti contoh Telibong 2 Fasa 2 yang sepatutnya dilaksanakan awal untuk permintaan 2022 tapi kita sekarang sudah memasuki tahun 2023 dan loji itu masih belum siap sepenuhnya.

“Saya sudah berbincang dengan beberapa orang yang berpengalaman lama di JANS di kementerian, kita akan mencari pendekatan untuk memperkemas sistem penghantaran dalam jabatan air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu mengenai masalah air dan sekiranya berlaku ketirisan dalam pengurusan.

Sementara itu, menjawab kepada soalan daripada ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun mengenai penyelesaian isu air masin di Sandakan, Shahelemy berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan mengendali operasi Loji Rawatan Air Segaliud bagi mengenal pasti dan mengatasi segala masalah yang timbul.

“Apa yang kita capai dari bulan Mac hingga sekarang adalah kerosakan di riverlock dan river barrage telah diperbaiki dan kita berjaya mengawal saline intuition kepada intake.

“Seterusnya kita meningkatkan pengepaman air daripada sungai empangan untuk meningkatkan paras dam yang pada masa itu agak rendah yang mengakibatkan paras chloride begitu tinggi sekali.

“Hasil sehingga hari ini, dengan pengepaman yang berterusan, riverlock telah dibaiki, kadar chloride dalam air yang diuji daripada makmal bertauliah dan untuk tiga hari ini bacaan telah berada di lingkungan 280 – 286. Saya berharap ianya akan terus turun di bawah paras 250 dalam masa terdekat ini,” jelasnya.

Tambah Shahelmey, bagi penyelesaian jangka panjang, pihaknya mencadangkan untuk membuat intake baharu di kawasan Kinabatangan bagi menghantar air ke Bentotan Dam supaya memperoleh air mentah yang bersih untuk dirawat pada masa hadapan.

Exit mobile version