Site icon TUHAU BAMBANGAN

ORANG RAMAI DIGESA BANTU SESB TANGANI KES CURI KABEL

KOTA KINABALU: Orang ramai digesa memberikan kerjasama membantu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam menangani masalah kecurian kabel sehingga menjejaskan bekalan elektrik.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, kes kecurian kabel elektrik atau sebarang aktiviti vandalisme perlu ditangani secara bersepadu dan tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.

“Dalam isu ini orang ramai perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak SESB dan pihak berkuasa. Kes kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan terputus bekalan elektrik tetapi kerugian pada negeri.

“Kita berharap isu ini diberi perhatian serius termasuk melibatkan pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kes curi kabel sehingga menyebabkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS), iaitu Menara Kinabalu mengalami gangguan bekalan elektrik baru-baru ini.

Terdahulu, SESB terpaksa menempatkan emam janakuasa mudah alih (Genset) untuk membekalkan elektrik ke bangunan berkenaan.

Genset tersebut dihantar bagi memastikan operasi bangunan setinggi 33 tingkat yang turut menempatkan Pejabat Ketua Menteri Sabah dan beberapa kementerian negeri.

Turut mengalami gangguan elektrik baru-baru ini beberapa perumahan dan premis komersial di kawasan berdekatan.

“Kes kecurian kabel telah menyebabkan kesusahan kepada banyak pihak kerana pihak SESB mungkin memerlukan beberapa hari sehingga seminggu untuk membaik pulih bekalan.

“Kita difahamkan kes kecurian ini juga amat kerap berlaku, dan sewajarnya aktiviti ini dibendung segera dan kegiatan itu dihapuskan sehingga akar umbi,” tegasnya.

Beliau turut menggesa premis barangan lusuh atau barangan terpakai yang membeli barang curi berkenaan juga dikenakan tindakan berat dan tegas kerana mereka juga bersubahat dalam kes berkenaan.

David yakin, jika tiada pembeli kepada barangan curi tidak mungkin akan berlaku kegiatan mencuri kabel berkenaan kerana harga tembaga biasanya mendapat permintaan tinggi daripada peniaga.

Exit mobile version