KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyambut baik baik usaha kerajaan negeri dalam mengagihkan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar tingkatan 5 dan 6 di Sabah.
Utusan Borneo melaporkan, Naib Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Kevin Lo berkata, pemberian itu akan memberi manfaat kepada sasaran berfokus selaras dengan arus perubahan pendidikan dan pembelajaran dalam keadaan norma baharu.
“Keprihatinan kerajaan negeri juga dapat meringankan beban ibubapa khususnya yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan pembelajaran efektif kepada anak-anak mereka.
“Terima kasih kepada kerajaan persekutuan dengan memperkenalkan Jalinan Digital Negara (JENDELA) susulan negara menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata, usaha penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah rancangan Malaysia ke-12 harus dipercepatkan kerana Sabah mempunyai cabaran capaian internet yang kritikal di dalam perlaksanaan PdPR dan juga pekerjaan daripada rumah.
Beliau menambah bahawa MBS juga menyambut baik program Felo Belia Sabah yang diperkenalkan kerajaan negeri dalam memberi peluang kepada golongan muda terlibat secara langsung dalam tadbir urus. – UB
Semoga akan ramai lagi pihak yang turut sama menyambut baik dan terus menyokong segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat. Terutamanya keselesaan kepada para pelajar yang kini terpaksa berdepan dengan arus perubahan pendidikan dan pembelajaran dalam keadaan norma baharu.