Site icon TUHAU BAMBANGAN

SURAT SETUJU TERIMA PROJEK NAIK TARAF BULATAN BERUNGIS-MENGKABONG DIJANGKA KELUAR NOVEMBER 2023

KUALA LUMPUR: Surat Setuju Terima bagi Projek Menaik Taraf Jalan Bulatan Berungis ke Bulatan Mengkabong Tuaran dijangka dikeluarkan pada bulan November 2023.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek itu sedang melalui proses perolehan secara tender terbuka dengan kaedah Reka dan Bina.

“Projek Menaik Taraf Jalan Berunggis, Tuaran telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Rolling Plan ke Dua (RP-2) Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

“Jajaran jalan yang dinaik taraf adalah bermula daripada Bulatan Jalan Berungis hingga ke Persimpangan Jalan Marabahai Spur sepanjang 2.9 km.

“Agensi Pelaksana adalah Jabatan Kerja Raya Malaysia dengan kerjasama pihak JKR Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam dalam satu jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa, bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam soalannya, Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status berkenaan menaik taraf Bulatan Berungis hingga Bulatan Mengkabong.

Beliau turut memohon agar peruntukan penyenggaraan lampu jalan persekutuan bagi Tuaran ditingkatkan daripada RM50 ribu kepada RM500 ribu.

Mengulas mengenai penyenggaraan lampu jalan, Abdul Rahman memaklumkan pelaksanaannya tertakluk kepada cadangan senarai keutamaan iaitu di kawasan blackspot (kemalangan).

“Adalah dijangkakan peruntukan sebanyak RM700 ribu akan diterima bagi Fasa 2 untuk penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat bagi seluruh jalan persekutuan Sabah yang melibatkan 21 daerah.

“Peruntukan Fasa 2 ini hanya akan dimuktamadkan setelah keputusan kelulusan belanjawan 2023 diluluskan.

“Kementerian ini juga sentiasa memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa bagi penyelanggaran lampu jalan Sabah untuk memastikan lampu-lampu jalan diselenggara dengan baik, jelasnya.

Tambah Abdul Rahman, permohonan Ahli Yang Berhormat, Madius tersebut akan dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dengan mengambil kira kemampuan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan.

Isnin lalu, Madius dalam ucapan perbahasannya turut membuat sindiran sinis apabila menggambarkan keadaan jalan raya di Sabah sama seperti di bulan.

“Sekiranya ada yang ingin menjadi angkawasan hari ini, jangan risau, semuanya kini menjadi lebih mudah.

“Anda hanya perlu datang sendiri dan memandu kereta di Sabah, pengalamannya sama seperti berada di permukaan bulan dengan jalan raya berlubang-lubang di tepi, belakang, kiri dan kanan,” ujarnya.

Exit mobile version